Wednesday 10 December 2014

Kupasan Tentang Sosial dan Pendidikan orang Melayu hasil lawatan ke Muzium Negara

Sebelum kita mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan sosial dan pendidikan masyarakat Melayu, hendaklah kita mengetahui terlebih dahulu maksud sebenar sosial itu sendiri.

Sosial secara umum nya bermaksud pergaulan dan hubungan sesama manusia dalam suatu kelompok manusia teruatama dalam masyarakat yang teratur.

Terdapat beberapa aspek sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:
1. Organisasi sosial masyarakat.
2. Amalan tradisional dan kekeluargaan sesebuah masyarakat.
3. Nilai-nilai murni masyarakat.
4. Kebudayaan.
5. Busana atau pakaian.
6. Dialek.
7. Tulisan.

1. Organisasi Sosial Masyarakat Melayu.

 
Organisasi sosial masyarakat Melayu terbahagi kepada dua :
a) golongan pemerintah
1. Sultan atau Raja
2. Kerabat raja
3. Golongan bangsawan
4. Pembesar
5. Ulama'

b) golongan diperintah
1. Rakyat biasa
2. Orang asing
3. Hamba

Masyarakat Melayu sangat menghormati dan mentaati sultan. Gambar diatas menunjukkan tatacara menghadap Sultan. Sesiapa yang ingin menghadap sultan mestilah berbaju bersih, berpakaian baju melayu lengkap bersampin dan bersongkok hitam sekurang-kurang nya bagi lelaki dan berpakai baju kurung berserta selendang bagi wanita.
Rakyat yang melanggar titah sultan dikatakan akan ditimpa ketulahan iaitu mendapat kemalangan.

2. Amalan Tradisional dan Kekeluargaan Sesebuah Masyarakat

Amalan tradisional merupakan amalan turun-temurun yang telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi oleh masyarakat Melayu.
Menjadi tradisi masyarakat Melayu bersalaman dan bermaafan di pagi Hari Raya Aidilfitri.Tradisi ini dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan saudara-mara.

gambar 1
Selain itu, masyarakat Melayu juga mempunyai adat-adat tertentu dalam proses perkahwinan.

Sebelum berkahwin, kebiasaannya adat merisik akan dilakukan oleh keluarga belah lelaki untuk melihat dan menyelidik latar belakang dan tingkah laku gadis yang dihajati oleh lelaki tersebut.

Selepas merisik, proses meminang pula akan dilakukan bertujuan bagi menetapkan tarikh dan masa yang sesuai bagi adat bertunang.
gambar 2

Adat bertunang dilakukan selepas proses meminang. Kebiasaanya jamuan ringkas akan diadakan di rumah pihak perempuan untuk menjamu keluarga pihak lelaki. Selain cincin, beberapa hantaran akan diberikan oleh pihak lelaki kepada perempuan. Gambar 1 dan 2 menunjukkan tepak sirih iaitu salah satu barang yang dijadikan sebagai hantaran. Pihak perempuan juga akan membalas hantaran pihak lelaki.

Selepas itu barulah acara akad nikah dapat dijalankan. Selepas akad nikah biasanya majlis perkahwinan akan diadakan bagi meraikan pengantin baru. Jiran-jiran, keluarga dan sahabat handai akan dijemput ke majlis perkahwinan.


3. Kebudayaan
Kebudayaan orang Melayu boleh dibahagikan kepada banyak kategori.


Salah satu kategori kebudayaan masyarakat Melayu ialah Seni Persembahan. Salah satu seni persembahan ialah seni bela diri.
Umum diketahui bahawa seni bela diri yang paling utama dalam masyarakat Melayu ialah Silat Melayu. Silat merupakan pergerakan tangkas untuk mempertahankan diri. Terdapat banyak jenis silat yang terdapat di Malaysia antaranya ialah silat gayung dan silat cekak.

Keris merupakan senjata yang sinonim digunakan dalam persilatan bagi mempertahankan diri. Selain itu, keris juga merupakan salah satu alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu.

Seterusnya, seni drama juga merupakan salah satu seni kebudayaan masyarakat Melayu. Wayang kulit merupakan jenis seni drama yang amat popular dalam kalangan orang Melayu lama bagi tujuan hiburan. Gambar diatas menunjukkan koleksi patung wayang kulit.
Wayang kulit menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Biasanya wayang kulit diiringi oleh satu kumpulan muzik gamelan atau paluan.

Selain itu, seni tampak juga merupakan antara jenis kebudayaan yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Seni tampak ini terbahagi kepada beberapa jenis antaranya seni tembikar. Gambar di atas menunjukkan tembikar yang diperbuat daripada tanah liat yang kemudiannya dibakar.


Di samping itu, seni tampak juga terbahagi kepada seni ukir, seni tenunan dan seni sulaman. Gambar di atas menunjukkan seni tenunan dan sulaman yang terdapat pada baju dan seni ukiran berupa kaligrafi potongan ayat-ayat suci al-Quran. Setelah kedatangan Islam, seni kaligrafi Islam berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu. Elemen kaligrafi ini sering dimasukkan dalam seni tenunan, sulaman dan ukiran sebagai perhiasan di dinding-dinding istana, masjid, surau dan rumah bangsawan.


4. Busana atau pakaian


Seterusnya, kita beralih pula kepada jenis busana dalam masyarakat Melayu. Pakaian tradisional bagi kaum perempuan ialah baju kurung. Baju kurung merupakan baju longgar yang labuh hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang berlipat tepi. Baju kurung sesuai dipakai oleh wanita beragama Islam kerana ianya menutupi seluruh tubuh kecuali wajah dan tangan sahaja. Kebiasaanya baju kurung dipakai bersama selendang atau tudung kepala.



Pakaian tradisional bagi kaum lelaki Melayu pula ialah baju melayu. Terdapat dua jenis baju melayu iaitu baju melayu teluk belanga dan baju melayu cekak musang. Pemakaian baju melayu sering digandingkan dengan kain samping atau songket. Pada acara-acara biasa baju melayu boleh juga dipakai dengan kain pelikat.

 --

Seterusnya dari sudut pendidikan, masyarakat Melayu telah pun menerima pendidikan seawal zaman sebelum merdeka lagi iaitu ketika era kegemilangan Melayu Melaka. Pada waktu itu, para ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok. Anak-anak mereka akan diajar oleh Tok Guru tentang hal-hal berkaitan agama. Tiada silibus tetap yang perlu dipelajari oleh murid-murid sekolah pondok sebaliknya pelajaran diajar berdasarkan kurikulum di Masjid al-Haram. Antara pelajaran yang dipelajari di pondok ialah subjek Feqah, Tauhid, Al-Quran, Hadith, Nahu, Sufi, Tasawwuf, Akhlak, Bahasa Arab dan Jawi. Para murid biasanya tinggal di rumah Tok Guru tersebut dan berkhidmat kepadaTok Guru dalam kerja-kerja harian. Tok Guru tidak menerima gaji sebaliknya bantuan kewangan diterima oleh ibu bapa dan masyarakat.

Semasa zaman penjajahan British, British mengamalkan dasar pecah dan perintah dan menubuhkan sekolah-sekolah vernakular yang mengasingkan pendidikan orang Melayu dengan orang Cina dan India. Namun begitu, pada awalnya orang Melayu tidak berminat menghantar anak mereka ke sekolah yang ditubuhkan oleh British. Oleh itu, nazir telah menambah subjek Al-Quran di sekolah. Walaubagaimanapun, orang Melayu masih lagi tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah vernakular tersebut. Hanya segelintir sahaja yang menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Oleh itu, British akhirnya terpaksa mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan menguatkuasakan Akta Wajib Pelajaran.

Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, beberapa laporan pelajaran telah dilakukan bagi mengubah sistem pendidikan di Tanah Melayu antaranya Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1952, Ordinan Pelajaran 1952 dan Penyata Razak 1956.

Akhirnya selepas merdeka hinggalah sekarang, pendidikan di Malaysia makin berkembang dengan kewujudan pelbagai dasar-dasar pelajaran di Malaysia.



No comments:

Post a Comment