Wednesday 10 December 2014

Kesimpulan Projek



Refleksi : 

      Sepanjang menjalankan projek  tamadun melayu dari segi sosial dan pendidikan, kami mempelajari banyak perkara mengenai tamadun melayu yang sangat gah dan membanggakan. Orang Melayu penuh dengan adat dan sopan. Setiap perbuatan disertakan dengan pantang larang yang mengajar kita untuk sentiasa berhemah dan beradab.

     Di sebalik kesopanan orang Melayu, kami mencapai suatu kesedaran bahawa orang Melayu sebenarnya kuat. Hal ini kerana, lahirnya seni pertahanan diri asli Melayu iaitu seni silat yang menjadi kekuatan pembesar dan pendekar tamadun Melayu. 

    Budaya Melayu juga sangat terkenal dengan keunikan dan auranya yang tersendiri. Budaya dalam berpakaian, berbicara, bergaul, berguru dan sebagainya telah wujud dalam diri bangsa Melayu yang menjadi amalan sehingga sekarang. Setiap budaya tersebut menceritakan falsafah orang Melayu dalam kehidupan. 

    Pendidikan juga tidak dilupakan. Bangsa Melayu adalah bangsa yang cintakan ilmu dan bahasanya sangat tinggi serta mempunyai maksud yang mendalam. Kami sebagai warga Malaysia yang berbangsa Melayu turut berasa bangga dengan tamadun Melayu yang telah terbina dengan kukuh sejak dahulu sehingga sekarang. 

--

Oleh itu berakhirlah kerja-kerja projek kami. Alhamdulillah kami telah berjaya menyiapkan projek ini. Diharap ramai yang mendapat manfaat dari blog kami tentang sosial dan pendidikan masyarakat Melayu.

Sekian, terima kasih.

Senarai ahli kumpulan (HS244/1C) :
1. AMAL JAUNE BINTI JALALUDIN
2. NORADNIN BINTI MOHAMAD KAMAL
3. AMIRAH RASYIDAH BINTI MOHD. NASIR
4. NUR NABILAH INANI BINTI MOHD JONI


Dari kiri: Nani, Adnin, Pakcik askar, Mira, Jaune di Muzium Negara :)

Temuduga bersama Responden 2

Bagi mengetahui tentang  amalan tradisional dan kekeluargaan masyarakat Melayu, kami telah menemuduga seorang lagi responden.



Responden 2 merupakan seorang guru sekolah menengah yang mengajar subjek Sejarah. Beliau bernama Amiza binti Zainal. Beliau berumur 48 tahun dan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor.

Kami menemuduga beliau bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang amalan tradisional masyarakat Melayu.

Seperti yang kita tahu, amalan tradisional masyarakat Melayu merupakan amalan turun-temurun masyarakat Melayu yang telah diguna pakai sejak zaman nenek moyang kita lagi.

Pantang larang pula merupakan suatu bentuk peraturan yang diwarisi secara turun-temurun sejak berkurun-murun lamanya. Masyarakat melayu mengamalkan pantang-larang dalam kehidupan seharian bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya golongan muda agar dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. 

Dalam temu duga kali ini, kami telah bertanyakan tentang pantang-larang yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu. 

Antara pantang-larang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ialah:

1) Tidak boleh makan berpindah tempat, nanti kahwin ramai.
Maksud sebenar: Takut banyak tempat bersepah selepas makan.

2) Anak dara tidak boleh duduk di tangga rumah, takut jodoh lambat.
Maksud sebenar: Tangga merupakan laluan orang. Orang susah nak lalu lalang.

3) Makan nasi biar sampai licin kalau tak banyak jerawat.
Maksud sebenar: Nasi hendaklah dihabiskan jika tidak akan berlaku pembaziran.

4) Jangan menyanyi ketika masak di dapur, takut dapat suami tua.
Maksud sebenar: Takut masakan hangus atau tidak sedap.

5) Wanita mengandung jangan kupas buah menyongsang dari bawah ke atas, nanti dapat anak songsang.
Maksud sebenar: Potong buah begini agak membahayakan.

Berikut merupakan antara pantang-larang yang kami pelajari semasa temuduga tersebut. Sebenarnya pantang-larang ini dasar kasih sayang orang-orang tua kepada anak-anak mereka supaya melakukan pekerjaan dengan cara yang baik. Oleh itu, kita hendaklah menghargai pantang-larang yang telah pun wujud dari zaman nenek moyang kita lagi supaya kita dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan kita.

Kupasan Tentang Sosial dan Pendidikan orang Melayu hasil lawatan ke Muzium Negara

Sebelum kita mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan sosial dan pendidikan masyarakat Melayu, hendaklah kita mengetahui terlebih dahulu maksud sebenar sosial itu sendiri.

Sosial secara umum nya bermaksud pergaulan dan hubungan sesama manusia dalam suatu kelompok manusia teruatama dalam masyarakat yang teratur.

Terdapat beberapa aspek sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:
1. Organisasi sosial masyarakat.
2. Amalan tradisional dan kekeluargaan sesebuah masyarakat.
3. Nilai-nilai murni masyarakat.
4. Kebudayaan.
5. Busana atau pakaian.
6. Dialek.
7. Tulisan.

1. Organisasi Sosial Masyarakat Melayu.

 
Organisasi sosial masyarakat Melayu terbahagi kepada dua :
a) golongan pemerintah
1. Sultan atau Raja
2. Kerabat raja
3. Golongan bangsawan
4. Pembesar
5. Ulama'

b) golongan diperintah
1. Rakyat biasa
2. Orang asing
3. Hamba

Masyarakat Melayu sangat menghormati dan mentaati sultan. Gambar diatas menunjukkan tatacara menghadap Sultan. Sesiapa yang ingin menghadap sultan mestilah berbaju bersih, berpakaian baju melayu lengkap bersampin dan bersongkok hitam sekurang-kurang nya bagi lelaki dan berpakai baju kurung berserta selendang bagi wanita.
Rakyat yang melanggar titah sultan dikatakan akan ditimpa ketulahan iaitu mendapat kemalangan.

2. Amalan Tradisional dan Kekeluargaan Sesebuah Masyarakat

Amalan tradisional merupakan amalan turun-temurun yang telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi oleh masyarakat Melayu.
Menjadi tradisi masyarakat Melayu bersalaman dan bermaafan di pagi Hari Raya Aidilfitri.Tradisi ini dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan saudara-mara.

gambar 1
Selain itu, masyarakat Melayu juga mempunyai adat-adat tertentu dalam proses perkahwinan.

Sebelum berkahwin, kebiasaannya adat merisik akan dilakukan oleh keluarga belah lelaki untuk melihat dan menyelidik latar belakang dan tingkah laku gadis yang dihajati oleh lelaki tersebut.

Selepas merisik, proses meminang pula akan dilakukan bertujuan bagi menetapkan tarikh dan masa yang sesuai bagi adat bertunang.
gambar 2

Adat bertunang dilakukan selepas proses meminang. Kebiasaanya jamuan ringkas akan diadakan di rumah pihak perempuan untuk menjamu keluarga pihak lelaki. Selain cincin, beberapa hantaran akan diberikan oleh pihak lelaki kepada perempuan. Gambar 1 dan 2 menunjukkan tepak sirih iaitu salah satu barang yang dijadikan sebagai hantaran. Pihak perempuan juga akan membalas hantaran pihak lelaki.

Selepas itu barulah acara akad nikah dapat dijalankan. Selepas akad nikah biasanya majlis perkahwinan akan diadakan bagi meraikan pengantin baru. Jiran-jiran, keluarga dan sahabat handai akan dijemput ke majlis perkahwinan.


3. Kebudayaan
Kebudayaan orang Melayu boleh dibahagikan kepada banyak kategori.


Salah satu kategori kebudayaan masyarakat Melayu ialah Seni Persembahan. Salah satu seni persembahan ialah seni bela diri.
Umum diketahui bahawa seni bela diri yang paling utama dalam masyarakat Melayu ialah Silat Melayu. Silat merupakan pergerakan tangkas untuk mempertahankan diri. Terdapat banyak jenis silat yang terdapat di Malaysia antaranya ialah silat gayung dan silat cekak.

Keris merupakan senjata yang sinonim digunakan dalam persilatan bagi mempertahankan diri. Selain itu, keris juga merupakan salah satu alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu.

Seterusnya, seni drama juga merupakan salah satu seni kebudayaan masyarakat Melayu. Wayang kulit merupakan jenis seni drama yang amat popular dalam kalangan orang Melayu lama bagi tujuan hiburan. Gambar diatas menunjukkan koleksi patung wayang kulit.
Wayang kulit menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Biasanya wayang kulit diiringi oleh satu kumpulan muzik gamelan atau paluan.

Selain itu, seni tampak juga merupakan antara jenis kebudayaan yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Seni tampak ini terbahagi kepada beberapa jenis antaranya seni tembikar. Gambar di atas menunjukkan tembikar yang diperbuat daripada tanah liat yang kemudiannya dibakar.


Di samping itu, seni tampak juga terbahagi kepada seni ukir, seni tenunan dan seni sulaman. Gambar di atas menunjukkan seni tenunan dan sulaman yang terdapat pada baju dan seni ukiran berupa kaligrafi potongan ayat-ayat suci al-Quran. Setelah kedatangan Islam, seni kaligrafi Islam berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu. Elemen kaligrafi ini sering dimasukkan dalam seni tenunan, sulaman dan ukiran sebagai perhiasan di dinding-dinding istana, masjid, surau dan rumah bangsawan.


4. Busana atau pakaian


Seterusnya, kita beralih pula kepada jenis busana dalam masyarakat Melayu. Pakaian tradisional bagi kaum perempuan ialah baju kurung. Baju kurung merupakan baju longgar yang labuh hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang berlipat tepi. Baju kurung sesuai dipakai oleh wanita beragama Islam kerana ianya menutupi seluruh tubuh kecuali wajah dan tangan sahaja. Kebiasaanya baju kurung dipakai bersama selendang atau tudung kepala.



Pakaian tradisional bagi kaum lelaki Melayu pula ialah baju melayu. Terdapat dua jenis baju melayu iaitu baju melayu teluk belanga dan baju melayu cekak musang. Pemakaian baju melayu sering digandingkan dengan kain samping atau songket. Pada acara-acara biasa baju melayu boleh juga dipakai dengan kain pelikat.

 --

Seterusnya dari sudut pendidikan, masyarakat Melayu telah pun menerima pendidikan seawal zaman sebelum merdeka lagi iaitu ketika era kegemilangan Melayu Melaka. Pada waktu itu, para ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok. Anak-anak mereka akan diajar oleh Tok Guru tentang hal-hal berkaitan agama. Tiada silibus tetap yang perlu dipelajari oleh murid-murid sekolah pondok sebaliknya pelajaran diajar berdasarkan kurikulum di Masjid al-Haram. Antara pelajaran yang dipelajari di pondok ialah subjek Feqah, Tauhid, Al-Quran, Hadith, Nahu, Sufi, Tasawwuf, Akhlak, Bahasa Arab dan Jawi. Para murid biasanya tinggal di rumah Tok Guru tersebut dan berkhidmat kepadaTok Guru dalam kerja-kerja harian. Tok Guru tidak menerima gaji sebaliknya bantuan kewangan diterima oleh ibu bapa dan masyarakat.

Semasa zaman penjajahan British, British mengamalkan dasar pecah dan perintah dan menubuhkan sekolah-sekolah vernakular yang mengasingkan pendidikan orang Melayu dengan orang Cina dan India. Namun begitu, pada awalnya orang Melayu tidak berminat menghantar anak mereka ke sekolah yang ditubuhkan oleh British. Oleh itu, nazir telah menambah subjek Al-Quran di sekolah. Walaubagaimanapun, orang Melayu masih lagi tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah vernakular tersebut. Hanya segelintir sahaja yang menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Oleh itu, British akhirnya terpaksa mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan menguatkuasakan Akta Wajib Pelajaran.

Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, beberapa laporan pelajaran telah dilakukan bagi mengubah sistem pendidikan di Tanah Melayu antaranya Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1952, Ordinan Pelajaran 1952 dan Penyata Razak 1956.

Akhirnya selepas merdeka hinggalah sekarang, pendidikan di Malaysia makin berkembang dengan kewujudan pelbagai dasar-dasar pelajaran di Malaysia.



Tuesday 9 December 2014

Lawatan ke Muzium Negara

25 Oktober 2014, Sabtu.

Kami telah melawat Muzium Negara pada 25 Oktober 2014 yang lepas bagi menambah lagi maklumat tentang sosial dan pendidikan masyarakat Melayu. Kami memilih untuk melawat Muzium Negara kerana lokasi muzium ini di Kuala Lumpur yang mana mempunyai banyak kemudahan pengangkutan awam disediakan.



Tiket masuk ke Muzium Negara hanya berjumlah RM2.00 bagi warganegara Malaysia kategori dewasa.


Terdapat empat balai pameran tetap di dalam Muzium Negara iaitu Balai 'A', Balai 'B', Balai 'C' dan Balai 'D'. Balai ‘A’ mempamerkan bahan-bahan kebudayaan rakyat Malaysia, manakala  Balai ‘B’ mempamerkan artifak-artifak sejarah Tanah Melayu, penemuan-penemuan arkeologi, kraftangan tradisional, koleksi Numesmatik, senjata-senjata Melayu dan Orang Asli.

Di tingkat dua pula terdapat Balai Pameran ‘C’ yang mempamerkan pelbagai koleksi alam semula jadi negara seperti mamalia, reptilia, serangga, burung, ikan, geologi dan lain-lain lagi dan Balai ‘D’ pula mempamerkan bahan-bahan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi negara seperti tanaman komersial, industri perlombongan bijih timah, perikanan dan pengangkutan awam.

Hasil lawatan kami ke muzium, kami telah mendapat banyak informasi-informasi tentang masyarakat Melayu di Malaysia.

Berikut merupakan antara bahan informasi yang kami dapat hasil lawatan ke muzium (tanpa mengikut urutan):
"Kepala Perahu Diraja" - kepala perahu berbentuk kepala naga ini diperbuat daripada kayu nangka dan diukir dengan motif sulur kacang dala bentuk awan larat. Ia digunakan untuk menghiasi haluan perahu Diraja Melayu. Ini menunjukkan kehalusan seni ukir masyarakat Melayu zaman dahulu.
Koleksi patung wayang kulit. Wayang kulit merupakan salah satu seni drama yang popular dalam masyarakat Melayu dahulu kala.

Salah satu "seni rupa" yang dibuat oleh orang Melayu iaitu seni tembikar berdasar bulat yang dijumpai di Candi Bukit Pendiat.    



Pelbagai jenis keris masyarakat Melayu yang digunakan dalam aktiviti persilatan yang merupakan salah satu seni gerak terkenal masyarakat Melayu.



Tepak Sirih bertekat - diperbuat daripada kayu dan disalut dengan kain baldu serta bertekat benang emas dengan motif bunga cempaka. Tepak sirih merupakan alat penting dalam majlis pertunangan dan perkahwinan masyarakat Melayu.



Singgahsana merupakan sebahagian simbolik Raja-Raja Melayu. Organisasi sosial masyarakat Melayu umum diketahui diketuai oleh Sultan sebagai ketua pemerintah.


Adat bersalam sudah menjadi satu amalan masyarakat Melayu setiap kali berjumpa. Selain itu, adat bersalam juga sering dilakukan pada pagi Hari Raya Aidilfitri disamping memohon kemaafan antara satu sama lain.

no 1 - ketur tembaga : bekas berludah bagi yang memakan sirih pada zaman dahulu. masyarakat Melayu zaman dahulu sering mengamalkan memakan sirih.
no 2 - bekas bunga rampai : bunga rampai digunakan dalam beberapa jenis majlis dan adat istiadat masyarakat Melayu seperti majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkhatan, majlis cukur jambul dan sebagainya
no 3 - periuk tembaga : periuk ini digunakan untuk menyimpan nasi yang baru dimasak semasa kenduri supaya panasnya tahan lebih lama dan sedap dimakan.
no 4 - tepak sirih : sering digunakan dalam majlis pertunangan sebagai hantaran.

Pending - Dipakai oleh kerabat diraja semasa upacara istiadat kebesaran diraja.
Pendidikan pondok - sebelum kedatangan British, masyarakat Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok untuk diajar oleh Tok Guru tentang ajaran Islam.
Pendidikan Melayu selepas kedatangan British. British menubuhkan sekolah-sekolah vernakular yang mengasingkan orang Melayu, Cina dan India.

Pendidikan Tinggi orang melayu bermula dengan penubuhan Universiti Malaya.

Yang diatas tadi merupakan beberapa bahan yang berkaitan dengan kehidupan sosial dan pendidikan orang Melayu yang akan dikupas dengan lebih lanjut di dalam post seterusnya.